Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 20 April 2013

4000 WARGA PONDOK DARI 20 PONDOK SELURUH KELANTAN MENYOKONG KERAJAAN PAS KELANTAN KOTA BHARU,  14 April – Satu himpunan besar-besaran yang dinamakan Ijtimak Ulama dan Guru-Guru Pondok seluruh Kelantan telah berlangsung di Madrasah Diniyah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh telah mencatat sejarah apabila seramai 4000 orang ulama termasuk murid-murid pondok sebulat suara menyatakan sokongan mereka kepada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti. Ijtimak yang menghimpunkan 20 buah pondok di Kelantan antaranya Pondok Lubuh Tapah, Pondok Seligi, Pondok Moden Kandis, Pondok Sungai Durian dan lain-lain bermula seawal 4.30 petang dan berakhir pada jam 12 malam. Pembentangan kertas kerja 'Mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan; Suatu Kewajipan' oleh Dr. Abdul Basit bin Haji Abd Rahman dan Dato' Dr Fadzli bin Dato' Hassan mengupas dengan lebih terperinci tentang kewajipan rakyat Kelantan dalam usaha menegak dan melaksanakan pemerintahan sepenuhnya di Kelantan. Selepas solat Maghrib seramai 16 orang daripada guru pondok bangun berucap menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Kerajaan PAS Kelantan serta mahu mengubah Putrajaya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Setiausaha Pusat Pembangunan Pondok, Ustaz Haji Ahmad Syairazi bin Tuan Guru Haji Atiqullah berkata "Kita tidak mahu diperintah oleh Barisan Nasional (BN) kerana jelas BN tidak mahu melaksanakan Islam dan membiarkan arak, judi dan maksiat berleluasa. Wasiat daripada Tuan Guru pengasas Pondok Pasir Tumbuh kepada anak-anak muridnya supaya sentiasa berjuang di bawah kepimpinan ulama. Oleh itu setiap Tok guru Pondok yang bersama UMNO mestilah kembali ke pangkal jalan". "Kita juga mahu BN tumbang dalam PRU 13 nanti agar kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dapat mengambil alih kerana BN tidak mampu melaksanakan Islam" ujarnya lagi dalam ucapannya yang penuh bersemangat. Mudir Pondok Darul Naim melor, Tuan guru Haji Abdul Aziz Che Man pula berkata dalam ucapannya, "Amat malang sekali sekiranya negara kita masih lagi dipimpin oleh UMNO. Maksiat berleluasa di sana-sini. kita pasti akan ditanya oleh Allah SWT kelak setelah kita mati apa yang kita lakukan. Marilah kita sama-sama mengekalkan Kerajaan Islam yang dipimpin oleh PAS dan menjatuhkan UMNO dan BN dalam PRU 13 nanti". Satu deklarasi guru-guru telah dibacakan oleh staz Haji Ahmad Syairazi bin Tuan Guru Haji Atiqullah, antara isi kandungannya menyatakan sokongan terhadap pendekatan tahaluf siyasi yang dilakukan PAS bersama Pakatan Rakyat(PR) dan menolak BN pada hari pengundian nanti. Ijtimak diakhiri dengan ceramah umum oleh Speaker Kerajaan Negeri Kelanan YB Dato' Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud pada sebelah malam dan perasmian penutup oleh YB Dato' Haji Ahmad bin Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan